PETALING JAYA – Hujan lebat petang ini menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir kilat, sekali gus menjejaskan perjalanan orang ramai terutama pengguna jalan raya.
Berdasarkan beberapa perkongsian di media sosial, antara lokasi yang dilaporkan dinaiki air ialah kawasan sekitar Rawang dan Petaling Jaya melibatkan kawasan Universiti Malaya serta Lebuh Raya Persekutuan.
Menerusi satu hantaran di Threads, seorang pengguna memaklumkan keadaan sekitar kawasan tol Rawang mula dinaiki air susulan hujan lebat berterusan kira-kira pukul 5.45 petang.
“Cuaca hari ini 5.45 petang, berhati-hati warga-warga. Macam biasa kawasan tol Rawang banjir,” tulis pengguna berkenaan sambil memuat naik video memaparkan banyak kenderaan tidak dapat meneruskan perjalanan.
Dalam masa sama, kawasan Universiti Malaya turut dilaporkan mengalami banjir kilat apabila sebuah video memaparkan air bertakung di kawasan jalan dalam kampus berkenaan.
“Universiti Malaya banjir teruk. Nasib kereta tinggi,” tulis seorang lagi pengguna.
Sementara itu, banjir kilat turut dilaporkan di Lebuh Raya Persekutuan, dengan beberapa kenderaan dilihat melalui laluan yang dinaiki air ketika hujan masih lebat.
Bagaimanapun setakat ini, belum ada maklumat rasmi berhubung jumlah kawasan terjejas atau kerosakan susulan banjir kilat tersebut.- KOSMO! ONLINE















