fbpx
HASRUNIZAH (tengah) menyantuni penduduk ketika kempen PRN Johor bagi DUN Pulai Sebatang di Pontian baru-baru ini. - IHSAN FACEBOOK HASRUNIZAH HASSAN

Fokus selesai projek terbiar di Pontian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agenda pembangunan di kawasan itu termasuk mencari penyelesaian terhadap beberapa projek dan bangunan terbiar yang mencacatkan landskap bandar Pontian.

Beliau berkata, antara isu yang diberi perhatian ialah bangunan lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian yang kini terbiar walaupun berada di lokasi strategik di laluan utama menghubungkan Pontian dengan Batu Pahat.

“Isu berkenaan bukan perkara baharu kerana ia telah dibawa ke Mesyuarat Tindakan Daerah Pontian sejak 2023 bagi mencari penyelesaian terbaik. Usaha membangunkan semula tapak itu bagaimanapun berdepan beberapa kekangan terutama membabitkan status pemilikan tanah antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sebarang cadangan pemba­ngunan memerlukan persetujuan kedua-dua pihak selain perlu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Kewangan,” katanya ketika berucap pada program di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Terus, Kayu Ara Pasong baru-baru ini.

HASRUNIZAH (tengah) menyantuni seorang penduduk yang terlantar sakit ketika kempen PRN Johor bagi DUN Pulai Sebatang, baru-baru ini.

Exco Wanita UMNO Pusat itu juga berkata, beliau mengalu-alukan penglibatan sektor swasta untuk membangunkan semula kawasan itu sama ada sebagai pusat perniagaan, pusat latihan atau projek bersesuaian.

“Dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap bangunan berkenaan adalah tidak tepat kerana proses pembangunan melibatkan pelbagai prosedur serta agensi berkaitan.

“Bangunan yang dipercayai berusia hampir 100 tahun itu sebelum ini pernah dicadangkan untuk dijadikan muzium selain sebahagiannya digunakan oleh persatuan dan organisasi ter­tentu,” katanya.

 

Selain isu IPD lama, beliau turut membangkitkan masalah Plaza Pontian atau lebih dikenali sebagai Billion yang terbiar sejak 2019 susulan kegagalan pemajunya melunaskan tunggakan bil kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ.

“Isu itu berlarutan dan memberi kesan besar apabila seramai 71 peniaga dilaporkan mengalami kerugian keseluruhan yang dianggarkan mencecah RM90 juta.

“Pembangunan di Pontian turut melibatkan projek pembesaran Hospital Pontian yang kini berada di peringkat akhir proses panggilan tender selepas majlis pecah tanah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu.

“Projek bernilai RM400 juta itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 230,000 penduduk Pontian selain menjadi antara inisiatif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.

Katanya, pembangunan infrastruktur lain turut menunjukkan perkembangan positif apabila projek pembesaran Jambatan Sungai Pontian Kecil bernilai RM23.13 juta berjaya me­lancarkan aliran trafik, manakala kerja awal menaik taraf Jamba­tan Sungai Pontian Besar bernilai RM38.04 juta telah dimulakan dan dijangka siap pada 2029.

Beliau selaku penyandang kerusi DUN Pulai Sebatang akan ditentang oleh calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, Haniff@Ghazali Hosman. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN