IPOH – Bekas pekerja sebuah restoran makanan segera didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, turut berdepan hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Norizan Riduan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Nurhaswani Afni didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, dalam daerah Kinta pada pukul 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon mahkamah mengenakan hukuman yang mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan memandangkan perbuatan tertuduh dilakukan terhadap Sultan Nazrin ketika sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau berkata, hukuman tersebut juga wajar dijadikan pengajaran kepada tertuduh, selain menjadi peringatan kepada orang awam agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
Dalam rayuannya, peguam bela, Datuk Naran Singh yang mewakili tertuduh secara pro bono memaklumkan anak guamnya memohon keampunan daripada Sultan Perak atas keterlanjuran perbuatan, selain merayu hukuman ringan.
Katanya, tertuduh telah bercerai dan sebelum ini bekerja sebagai pelayan restoran dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan, namun kini tidak lagi bekerja dan dijaga oleh anak-anaknya.
“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia juga mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia serta pernah menerima rawatan sebelum ini,” katanya.
Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira tempoh tahanan selama 55 hari yang telah dilalui tertuduh, termasuk sepanjang tempoh reman, siasatan, tahanan dan pemerhatian di hospital.
Sebelum ini, pada 8 September tahun lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sama, namun tiada pengakuan direkodkan selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan mental.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang berpakaian serba hitam telah naik ke pentas acara sebelum secara tiba-tiba berlari ke arah Sultan Nazrin dan menarik baginda sehingga hampir terjatuh.
Pegawai serta anggota keselamatan yang berada di lokasi kemudian bertindak menahan tertuduh sebelum satu laporan polis dibuat.
Tertuduh yang dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta disahkan menghidap skizofrenia, namun laporan psikiatri mendapati beliau layak dibicarakan serta berupaya memberikan pengakuan. – KOSMO! ONLINE















