PETALING JAYA – Hujan lebat yang melanda ibu kota sejak malam tadi telah menyebabkan laluan pejalan kaki dari kawasan perumahan Vista Angkasa menuju ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti dinaiki air.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Littlepao.oo, limpahan air deras tersebut memenuhi sepanjang laluan itu ekoran hujan lebat berterusan sehingga menyukarkan orang ramai untuk melaluinya.
“Laluan dekat sini memang dari dulu bermasalah kalau hujan lebat,” katanya pada hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan kebimbangan yang sama kerana ia mengganggu pergerakan mereka untuk pulang ke rumah.
“Terpaksa redah nak masuk Vista dan kaki aku gatal-gatal ye kena air tu sebab banyak sampah dan daun-daun naik,” ujar Felixkhor.
“Terpaksa korbankan kasut kesayangan saya sebab nak meredah laluan ni. Dah lah ini satu-satunya laluan berbumbung untuk balik rumah,” kata Fiqa_mohd06.
Ada juga pengguna yang menasihatkan agar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera kerana isu limpahan air ini didakwa telah berulang kali berlaku setiap kali hujan lebat melanda.
“Kena buat aduan dekat DBKL sepatutnya ni. Sebab laluan ni memang bermasalah naik air macam tu setiap kali hujan lebat. Sangat menyusahkan dan keselamatan orang ramai pun tak terjamin,” jelas Safrizal82. – KOSMO! ONLINE
View on Threads















