SETIAP kali sesebuah konsert legenda diumumkan, kita tahu apa yang bakal berlaku. Media sosial menjadi riuh. Tiket diserbu dalam tempoh singkat. Peminat membeli terlebih dahulu, percaya kemudian.
Fenomena itu bukan hanya berlaku keafa artis lokal. Nama-nama seperti My Chemical Romance, Evanescence, Coldplay contohnya tetap menjadi rebutan. Mereka bukan menjual lagu semata-mata, tetapi kenangan, emosi dan sebahagian daripada perjalanan hidup peminat.
Siri konsert Datuk M. Nasir yang baru menyudahi edisi keempat semalam juga masih mencatat sokongan hebat, stadium masih penuh, penonton yang datang bukan kerana belum pernah mendengar nyanyiannya tetapi kerana mahu merasai karya tersebut dalam satu pengalaman berbeza.
Konsert band indie, Hujan menghimpunkan sekitar 17,000 penonton. Konsert-konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza hampir tidak pernah bergelut untuk menjual tiket, edisi ‘Bumantara’ juga luar biasa sambutannya, konsert Awie Rock King, Exists dengan Momento Mori, Ogos nanti serta Spideraya turut mencetuskan keterujaan.
Persoalannya, apakah yang sedang dijual? Jika muzik semata-mata menjadi produk, bukankah semuanya sudah berada di hujung jari? Hakikatnya, industri konsert tidak menjual muzik semata-mata tetapi pengalaman. Lebih tepat lagi, hubungan emosi antara artis dengan khalayaknya.
Industri konsert berbeza daripada industri filem. Sebuah filem, walaupun dibintangi pelakon ternama, tetap perlu membuktikan ceritanya. Hanya karya yang benar-benar mencengkam mampu memenuhkan kerusi pawagam berminggu-minggu. Untuk konsert, peminat membeli nama dan legasi demi menikmati sebuah rasa, energi serta emosi.
Mungkin kerana itulah ramai penganjur memilih untuk bermain selamat, lebih yakin tiket mudah dijual. Itulah yang berlaku ketika ini. Artis yang tidak punya banyak diskografi atau kurang level ‘boleh jual’ pula sila penuhi dulu undangan kecil.
Jika hampir semua konsert terbesar hari ini bergantung kepada katalog lagu yang sudah terbukti puluhan tahun, kita perlu bertanya dengan jujur, adakah industri sedang mencipta sejarah baharu atau sekadar mengitar semula sejarah yang pernah gemilang?
Jangan nanti, ada yang jemu dengan pengulangan demi pengulangan. Tidak semua konsert artis otai meraih kejayaan hebat, ada juga yang berlangsung ‘hiba’ bertaraf legenda tetapi sambutan dan piawaian tidak setara.
Nostalgia bukan musuh bahkan itu mata wang paling mahal dalam industri hiburan, nostalgia tidak boleh dipalsukan dan hanya lahir selepas berdekad karya hidup dalam jiwa masyarakat.
Namun, sebuah industri tidak boleh hidup hanya dengan menuai hasil daripada pokok yang ditanam generasi terdahulu. Setiap generasi perlu menanam benihnya sendiri, perlukan karya baharu untuk dikenang, artis baharu untuk dirindui.
Untuk artis baharu juga, usaha hari ini belum tentu menjadi sejarah hebat, tapi mungkin bakal menjadi nostalgia berharga pada 20 atau 30 akan datang. Tunggu dan lihat. – KOSMO! ONLINE














