fbpx
Berkat semangat dan tekadnya, Nazmil kini menjadi pengurus cawangan di sebuah bengkel kenderaan di Perlis.

Graduan KV kini bergelar pengurus bengkel di usia muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka, minat mendalam terhadap dunia mekanikal sejak kecil mampu menghidangkan masa depan cerah buat seorang anak muda sehingga layak bergelar pengurus cawangan seawal usia 20-an.

Realiti itulah yang dibuktikan oleh anak jati Kedah, Muhammad Nazmil Yazi, 24, apabila kepakaran teknikal yang ditimba melalui aliran Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini membuahkan hasil.

Berdiri megah sebagai pengurus cawangan bagi jenama Nas Utara Automotif di Perlis, dia menjadi bukti bahawa lulusan Kolej Vokasional (KV) mampu memegang jawatan dalam industri pada usia muda.

Menceritakan detik awal penglibatannya, Muhammad Nazmil memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Automotif di Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang sejurus tamat menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Langkah tersebut diambil atas dasar minat yang mendalam terhadap kenderaan sejak dari kecil lagi.

“Saya memang minat dalam bidang automotif daripada kecil lagi sebab masa saya kecil memang minat kereta. Sebab itu lepas sahaja PT3, saya terus ambil keputusan untuk ambil bidang kemahiran ke KV dalam kursus automotif.

“Saya langsung tidak ada rasa ragu-ragu dengan masa depan apabila memilih laluan ini kerana saya amat yakin boleh pergi jauh. Apatah lagi di Malaysia ini, majoriti masyarakat memang menggunakan kereta untuk bergerak ke mana-mana.

“Jadi berdasarkan corak masa depan itu, saya nampak peluang dalam kemahiran automotif ini sangat cerah dan tiada masalah untuk kita berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang telah menamatkan pengajian pada tahun 2018 dengan kelayakan Diploma KV, langkahnya untuk bergelar pengurus pada usia muda tidak terus bermula di atas kerusi empuk pengurusan.

NazmIL yang merupakan bekas pelajar Kolej Vokasional kini bergelar pengurus cawangan di sebuah bengkel.

Sebaliknya, dia terlebih dahulu membina portfolio dengan bekerja sebagai mekanik biasa demi menguasai pengetahuan operasi di lapangan.

“Sebelum jadi pengurus ini, saya jadi mekanik dahulu. Bila kita dah pandai buat mekanik ini, baru kita boleh naik ke pengurus sebab kalau kita nak menguruskan apa-apa pun, kita wajib kena ada kemahiran asas,” jelasnya.

Menurutnya, sistem pembelajaran di KV yang melebihkan latihan amali berbanding teori banyak membantu dalam mempersiapkannya ke alam pekerjaan, selain percaya keputusan akademik semata-mata tidak lagi menjamin kebolehpasaran dalam industri masa kini.

“Lagipun, silibus pembelajaran TVET juga amat membantu kerjaya saya kerana ia lebih banyak menekankan aspek amali berbanding teori.

“Apabila kita banyak buat amali, ia memberikan impak besar dalam meningkatkan kemahiran asas. Bagi saya, walaupun seseorang itu belajar tinggi atau mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, itu memang bagus. Bagaimanapun, realiti industri sekarang melihat kepada pengalaman kerja.

“Kelebihan memiliki kemahiran teknikal yang bagus sebegini sebenarnya memberikan satu kelebihan besar (advantage) untuk kita melangkah lebih yakin dalam pasaran pekerjaan yang sebenar,” katanya.

Melihat kepada landskap industri yang dipenuhi kenderaan di negara ini, pengurus muda tersebut kini meletakkan sasaran yang lebih tinggi untuk mengembangkan empayar perniagaannya.

Jika diberikan rezeki, dia merancang untuk menembusi pasaran yang lebih luas dengan membuka cawangan baharu Nas Utara Automotif ke seluruh Malaysia.

Sebelum mengakhiri perbualan, Muhammad Nazmil sempat memberikan pesanan berharga buat generasi muda yang masih ragu-ragu untuk memilih aliran teknikal sebagai jalan kerjaya.

“Naihat saya kepada pelajar yang meminati bidang ini, teruskan minat anda. Belajar kemahiran langsung tidak merugikan kerana ilmu ini boleh diguna pakai untuk tempoh masa yang sangat lama.

“Malah, dengan adanya kelebihan teknikal, peluang untuk kita mendapatkan pekerjaan di pelbagai tempat sebenarnya akan menjadi lebih jauh terbuka luas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN