fbpx
Tangkap layar memaparkan dua kanak-kanak perempuan mengeluarkan kepala melalui bukaan 'sunroof' sebuah kereta di Lebuh Raya Grand Saga, Kajang hari ini.

Ibu ditahan, benarkan dua anak keluar kepala melalui ‘sunroof’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Tindakan seorang wanita membiarkan dua anak perempuannya mengeluarkan kepala melalui ruang ‘sunroof’ ketika kereta sedang bergerak mengundang padah apabila dia ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tindakan itu diambil susulan video tular di media sosial yang dipercayai berlaku di Lebuh Raya Grand Saga berhampiran Kampung Batu 10, Cheras.

“Susulan video tular itu, satu laporan polis diterima pada pukul 5.28 petang tadi sebelum siasatan dijalankan.

“Suspek yang merupakan wanita tempatan berusia 30 tahun serta ibu kepada dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan enam tahun ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Naazron, wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak serta Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengutamakan keselamatan kanak-kanak serta pengguna jalan raya lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN