ALOR SETAR – Pasangan yang bernikah di Thailand tanpa kebenaran Mahkamah Syariah boleh dikenakan hukuman termasuk denda mengikut peruntukan di bawah enakmen negeri masing-masing.
Peguam Syarie, Nur Amalina Adam berkata, hukuman itu boleh dikenakan ke atas setiap individu yang melakukan kesalahan tersebut.
Katanya, di Kedah, kesalahan berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah Syariah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 35 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah.
“Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kes poligami (selepas pindaan) pula, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh maksimum setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Bagaimanapun, Nur Amalina berkata, hukuman tersebut tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri masing-masing.
Katanya, pasangan yang mahu mendaftarkan perkahwinan luar negara di Malaysia perlu mengemukakan dokumen lengkap iaitu sijil nikah asal Thailand, gambar pernikahan, pengesahan Konsulat Malaysia dan resit pendaftaran Konsulat Malaysia.
Selain itu, dokumen lain yang diperlukan adalah surat perakuan jarak iaitu jarak lokasi pernikahan dan tempat tinggal bagi tujuan pengiraan penentuan dua (2) marhalah, pasport, kad pengenalan pasangan suami isteri dan surat rujukan daripada pejabat agama kepada hakim syarie.
Jelasnya, pasangan wajib mendaftarkan perkahwinan masing-masing bagi mengelakkan penafian hak anak, termasuk berkaitan kewarganegaraan, pendidikan, kesihatan dan kebajikan.
“Bagi pasangan yang belum mendaftarkan perkahwinan, proses pendaftaran sijil kelahiran anak akan terjejas kerana status ibu bapa perlu dibuktikan terlebih dahulu,” katanya.
Tambahnya, anak masih boleh didaftarkan, namun rekod kelahirannya akan dimasukkan di bawah Seksyen 13 sehingga isu status ibu bapa diselesaikan.
“Selepas itu, rekod kelahiran boleh didaftarkan di bawah Seksyen 27(3) bagi rekod Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.














