MELAKA – Seorang waris mendakwa pernah menjadi mangsa ‘permainan’ perkhidmatan van jenazah amal apabila dikenakan bayaran RM500 walaupun pada mulanya dimaklumkan semua urusan pengurusan dilakukan secara percuma.
Izam Zamzuri Mulup, 54, mendakwa, kejadian itu berlaku ketika dia hendak menguruskan jenazah adiknya yang meninggal dunia di sebuah hotel di Plaza Mahkota pada 12 Jun lalu sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Katanya, dia kemudian menghubungi sebuah badan pengurusan jenazah amal untuk membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, Kuala Lumpur.
“Dari awal lagi kami dimaklumkan semua urusan adalah percuma.
“Namun sebaik sahaja jenazah tiba di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, kami diminta membuat bayaran RM500 untuk mandi dan van jenazah,” katanya.
Menurut Izam, walaupun terkejut dia tetap membuat bayaran kerana tidak mahu urusan pengebumian adiknya terganggu.
“Cuma saya berharap perkara seperti ini tidak berulang kerana waris yang sedang berdepan kehilangan ahli keluarga tidak sepatutnya dibebankan dengan tuntutan bayaran yang tidak dimaklumkan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, isu berkenaan turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem yang memaklumkan, sebelum kejadian beliau telah dihubungi oleh salah seorang waris bagi mendapatkan khidmat van jenazah.
Menurutnya, urusan itu telah diselaraskan dengan sebuah NGO yang menawarkan perkhidmatan van jenazah percuma.
Bagaimanapun katanya, seorang lagi ahli keluarga telah terlebih dahulu menghubungi sebuah operator van jenazah lain yang juga menawarkan perkhidmatan secara percuma.
“Oleh sebab itu, kami benarkan sahaja mereka. Namun saya terkejut apabila waris dikenakan bayaran yang agak tinggi selepas jenazah dihantar di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berharap mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan amal supaya lebih telus berhubung sebarang caj yang dikenakan bagi mengelakkan kekeliruan, sekali gus tidak menambah beban kepada waris yang sedang berduka.














