fbpx
Anwar pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian SParK 2026 di IOI City Mall, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Tidak layan surat minta sokongan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran agar amalan melobi dan menggunakan surat sokongan bagi mendapatkan pinjaman atau bantuan daripada agensi Bumiputera perlu dihentikan.

Beliau berkata, perkara itu boleh menjejaskan keberkesanan institusi selain menyumbang kepada kegagalan perniagaan dan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan budaya lama yang mengutamakan hubungan atau pengaruh.

“Saya tidak peduli ketua cawangan ke, ketua cabang ke, ketua bahagian lobi. Saya dah bagi amaran. Ketua yang ada keupayaan kita bantu. Kalau pakai surat sokongan saja, itu dah langkah nak melingkupkan agensi Bumiputera seperti mana yang kita sudah warisi puluhan tahun.

“Mengapa kita bagi pinjaman? Sebab dia ada kaitan yang rapat dengan orang-orang tertentu atau surat-surat kuning lah, hijau lah, biru lah, ini masalah merosakkan kita. Akhirnya kita bantu dan perniagaan itu lingkup kerana orang-orang itu tidak komited,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga di IOI Grand Exhibition and Convention Centre, di sini hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa amalan menyalahgunakan pinjaman dan bantuan yang disalurkan, harus dihentikan kerana ia hanya merugikan negara serta menjejaskan matlamat untuk memperkasa ekonomi golongan itu.

Katanya, pengalaman lalu menunjukkan terdapat penerima pinjaman yang lebih mengutamakan kemewahan berbanding membangunkan perniagaan sehingga akhirnya menyebabkan syarikat itu gagal.

“Seperti mana kita tahu, ada laporan-laporan dahulu diberi pinjaman. Langkah pertamanya apa? Pejabat yang indah, kemudian kenderaannya, kemudian (ada) isteri kedua, jadi kegiatannya untuk menjual lesennya dan mendapat komisen, ini perlu dihentikan.

“Kita bicara tentang semua nak popular, tapi tidak berani menegur ketempangan yang ada, bukan sedikit. Saya tahu ramai yang tidak senang dengan sergahan saya begini, tapi ini kenyataannya. Berapa puluh bilion yang lingkup saham? Penyenaraian saham Bumiputera, berapa banyak yang jahanam, berapa banyak pinjaman,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga mengubah pendekatan pemantauan apabila semua kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi nasional dikehendaki melaporkan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor masing-masing. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN