fbpx
Watak ASP Salina sudah sebati dengan dirinya sehingga turut dipanggil dengan nama itu di luar set penggambaran.

‘Pernah dipanggil bohsia, sekarang saya ASP Salina’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Dulu orang panggil saya bohsia. Sekarang orang panggil saya ASP Salina.”

Itu perkongsian pelakon Salina Saibi, 44, yang kembali menggalas peranan sebagai pegawai polis dalam drama kepolisan Gerak Khas 2.0.

Menurut Salina, watak ASP Salina sudah sebati dengan dirinya sehingga turut dipanggil dengan nama itu di luar set penggambaran.

“Sudah 20 tahun saya terlibat dengan drama bersiri Gerak Khas. Tak dinafikan watak ini sudah menjadi sebahagian daripada diri saya.

“Bila saya jumpa orang di luar, mereka panggil saya ‘puan’ — puan nak lapor. Mereka rasa saya ni polis.

“Dulu ketika saya terlibat dengan filem Bohsia mereka panggil saya bohsia,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama Gerak Khas 2.0.

Bercerita lanjut tentang pembabitan dalam Gerak Khas 2.0, kata Salina, dia berbangga masih diberi kepercayaan oleh Datuk Yusof Haslam untuk terus terlibat dalam drama yang kini bersiaran di TVS itu.

“Saya berbangga dan terharu Datuk Yusof masih lagi mempercayai saya untuk membawa watak ASP Salina. Saya antara pelakon Gerak Khas yang paling lama.

“Sebenarnya saya memang tak sangka saya akan terlibat dengan drama Gerak Khas. Saya memang minat dengan drama ini dulu waktu dilakonkan oleh Abby Abadi dan Datuk AC Mizal.

“Tak sangka saya akhirnya dapat masuk dalam Gerak Khas. Daripada Inspektor sampai jadi ASP. Bukan saya sahaja yang bangga, ibu dan bapa saya pun bangga bila anak mereka dapat berlakon Gerak Khas,” kongsinya.

Selain Salina, Gerak Khas 2.0 turut menampilkan barisan pelakon handalan seperti Erra Fazira, Datuk Hans Isaac, Anding dan Fezrol Khan.

Gerak Khas 2.0 kini bersiaran di saluran TVS 122 setiapa Jumaat pukul 8.30 malam bermula 3 Julai 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN