fbpx
Alif Satar terus menjadi sorotan positif selepas berkongsi momen menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan yang berjaya menghimpunkan ramai Muslimin.

Subuh macam Jumaat, Alif Satar ‘sesakkan’ Masjid Sri Sendayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Nama penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal, Alif Satar terus menjadi sorotan selepas berkongsi momen menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, hari ini.

Perkongsian yang dimuat naik dalam akaun media sosial itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji usaha Alif dalam mengajak masyarakat, khususnya golongan lelaki untuk mengimarahkan masjid terutamanya pada waktu subuh.

Dalam video yang dikongsikan Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 36, kelihatan ramai jemaah yang hadir memenuhi segenap ruang masjid.

“Assalamualaikum. Kami baru selesai solat subuh berjemaah di Masjid Sri Sendayan yang cantik. Salam subuh daripada kami, geng subuh macam Jumaat,” katanya dalam video tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, ramai para jemaah yang terlibat berkongsi foto momen mereka menghadiri solat subuh tersebut.

Ada di antara mereka datang dari Kuala Lumpur secara berkumpulan (konvoi) menaiki motorsikal.

“Terbaik Alif, harap-harap dapat buat di masjid lain pula nanti. Jemput datang ke Masjid Al Sultan Abdullah,” komen netizen.

Rata-rata netizen menyifatkan kehadiran Alif sebagai satu bentuk dakwah yang dekat dengan masyarakat, selain mampu menjadi inspirasi kepada anak muda untuk menjadikan masjid sebagai destinasi utama, khususnya pada waktu subuh.

Alif sebelum ini juga aktif menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan dan aktiviti kecergasan yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat serta nilai-nilai keagamaan.

Untuk rekod, Alif mula mencetuskan gerakan #GengSubuhMacamJumaat pada penghujung November 2023, ketika konflik di Gaza menjadi perhatian dunia.

Menurutnya ilham itu datang selepas mendengar perkongsian seorang agamawan bahawa kekuatan umat bermula dengan mengimarahkan solat subuh berjemaah di masjid.

Pasa 1 Januari 2024, Alif menganjurkan himpunan besar pertama di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, yang berjaya menghimpunkan kira-kira 3,000 jemaah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN