PETALING JAYA – Beberapa laluan di sekitar Jalan U Thant akan ditutup sementara bermula 6 Julai ini sehingga 31 Januari 2027, bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja pembinaan paip atau ‘pipe jacking’.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ia melibatkan penutupan penuh laluan keluar dari Jalan U Thant ke Jalan Tun Razak (berhampiran Regal House).
“Penutupan penuh laluan masuk dari Jalan Tun Razak ke Jalan Langgak Golf (berhampiran Kedutaan Iraq).
“Selain itu, Jalan Langgak Golf akan dijadikan laluan sehala bagi pergerakan keluar menuju ke Jalan Tun Razak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, DBKL menyarankan agar pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif selajn merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi papan tanda dan arahan trafik yang disediakan.
“Pengguna dari Jalan Tun Razak yang ingin menuju ke Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf hendaklah menggunakan Jalan U Thant sebagai laluan masuk.
“Bagi pengguna dari kawasan Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf yang ingin menuju ke Jalan Tun Razak hendaklah menggunakan Jalan Langgak Golf sebagai laluan keluar,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi pihak berkaitan di talian 012-2642310. – KOSMO! ONLINE














