JEMPOL – Kes tular membabitkan warga Pakistan yang didakwa melarikan diri selepas melanggar sebuah motosikal sehingga mengorbankan nyawa seorang lelaki di Jalan Ladang Kok Foh bulan lalu sudah selesai dan dibawa ke mahkamah.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, suspek berusia 32 tahun ditahan di Felda Palong 10 pada pukul 12 tengah hari, 26 Jun lalu selepas dua hari kejadian itu berlaku.
Katanya, suspek dituduh di Mahkamah Majistret Bahau pada 30 Jun lalu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas direman selama empat hari.
“Bagaimanapun warga asing tersebut mengaku tidak bersalah. Siasatan mendapati lelaki itu dipercayai melanggar sebuah motosikal yang ditunggang dua beranak berusia 44 dan 16 tahun sebelum pemandunya melarikan diri.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng patah kaki kanan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai hantaran dipercayai daripada keluarga mangsa yang memohon supaya keadilan dapat ditegakkan susulan kemalangan maut disebabkan kereta yang dipandu warga asing. – KOSMO! ONLINE














