BACHOK – Luluh hati seorang ibu sebaik melihat jasad anak bongsunya dalam keadaan berbungkus kain di atas jalan selepas motosikal dinaiki bersama rakan dihempap sebatang pokok kelapa dalam kejadian di Kampung Permatang Pasir, Gunong di sini kelmarin.
Nik Mohd. Haikal Abdul Rahim, 17, yang menunggang Modenas Kriss meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Ahmad Iqbal Mukmin, 17, cedera parah dan dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Ibu mangsa, Raja Ruhana Raja Mejan, 53, berkata, dia tidak menyangka anak bongsu daripada empat beradik itu pergi dalam sekelip mata selepas sebelum ini turut kehilangan dua anak.
“Sangat menyedihkan apabila saya kini hanya tinggal seorang anak iaitu anak perempuan.
“Anak sulung iaitu Allahyarham Nik Nor Zamziah meninggal dunia ketika berusia lima tahun akibat masalah jantung, manakala anak ketiga, Allahyarham Nik Nor Amalia meninggal dunia kerana jangkitan kuman pada paru-paru pada usia dua tahun.
“Sekarang hanya ada anak kedua kami,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bercerita lanjut, beliau berkata, anak bongsunya itu sedang menjalani peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sepatutnya akan bersambung pada minggu depan.
Katanya, pada hari kejadian, Nik Mohd. Haikal keluar rumah dengan menunggang motosikal jenis Modenas Kris miliknya memandangkan motosikal yang diberi untuk kegunaan arwah sebelum ini telah rosak.
“Saya dimaklumkan oleh salah seorang rakan anak bahawa Nik Mohd. Haikal dihempap sebatang pokok kelapa ketika menunggang motosikal kira-kira pukul 6.30 petang.
“Luluh hati saya apabila melihat jasad arwah sudah ditutup dengan kain sewaktu tiba di lokasi kejadian. Saya tidak sangka kejadian ini berlaku dalam sekelip mata sehingga menyebabkan arwah meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, jenazah arwah disemadi di Tanah Perluburan Islam Mujur, Jelawat di sini selepas proses bedah siasat di Hospital Bachok di sini selesai.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Nor Azman Mohamad, 52, berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bukit Cendol, Gunong di sini selepas berjumpa dengan rakannya.
Katanya, dia menerima maklumat mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati Nik Mohd. Haikal sudah meninggal dunia.
“Sebatang pokok kelapa yang reput dipercayai tumbang akibat dibadai ribut sebelum menghempap motosikal dinaiki kedua-dua remaja itu.
“Ahmad Iqbal yang merupakan rakan mangsa dikatakan masih menggunakan tongkat selepas terlibat kemalangan jalan raya sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.














