PETALING JAYA – Pempengaruh kontroversi, Ammar Nazhan disekat selama tujuh hari daripada membuat sebarang siaran langsung di TikTok, susulan isu ‘live’ perlawanan Piala Dunia 2026 di platform tersebut.
Ammar Nazhan menerusi hantaran video memberitahu, dia disekat daripada membuat siaran langsung di TikToknya susulan isu hak cipta berkaitan penyiaran perlawanan berkenaan.
“Siaran langsung digantung sementara waktu selama tujuh hari susulan isu berkait hak cipta penyiaran perlawanan Piala Dunia 2026.
“Saya hargai kepada mereka yang beri sokongan dan saya akan fokus untuk mencipta lebih banyak kandungan,” katanya pada hantaran video TikTok, hari ini.
Menerusi hantaran pada Threads pula, Ammar berkata, pada awalnya dia berinteraksi dan bersembang tentang perlawanan bersama penonton ketika perlawanan Portugal.
“Langsung tak sangka ia masuk FYP (video-video dicadangkan dalam TikTok) dan mendapat sambutan sangat besar daripada ramai peminat bola sepak. Sejujurnya, Am tak pernah berniat untuk menyinggung atau menyusahkan mana-mana pihak.
“Bagi Am, Piala Dunia adalah satu acara yang menyatukan peminat bola sepak dari seluruh dunia. Am seronok dapat berkongsi keterujaan dan melihat ramai penonton sama-sama menikmati suasana perlawanan,” katanya.
Dia mendakwa, terlalu banyak andaian, kecaman dan penghinaan diterimanya seolah-olah semuanya telah diputuskan tanpa mengetahui keseluruhan keadaan.
Katanya, dia juga berterima kasih kepada semua pihak yang masih menyokong selain memberi teguran kepadanya dengan cara yang baik.
“Ada yang menggelar dengan pelbagai gelaran, mengajak orang lain membenci, malah ada yang mengeluarkan kata-kata yang melampaui batas. Kalau ada mana-mana pihak yang mempunyai hak atau merasakan ada perkara perlu diperjelaskan. Am sentiasa bersedia memberikan kerjasama melalui saluran sewajarnya.
“Apa yang Am harapkan ialah kita semua boleh memberi ruang kepada fakta dan tidak terus menghukum berdasarkan andaian atau konten yang dipotong-potong demi mengejar tontonan,” katanya.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, seorang pempengaruh kontroversi dikecam hebat selepas didakwa membuat siaran langsung atau ‘live’ perlawanan Piala Dunia 2026 di laman TikTok.
Menerusi hantaran seorang pengguna Threads, dia mendakwa sejak awal pagi, pempengaruh yang mempunyai kira-kira 1.9 juta pengikut itu telah melakukan siaran langsung sambil menyiarkan perlawanan antara Ivory Coast dan Norway.
Siaran langsung itu didakwa ditonton lebih 15,000 pengguna selain menerima lebih 5,000 perkongsian dan 1.7 juta tanda suka.
Individu sama turut mendakwa pempengaruh berkenaan sebelum ini membuat ‘live’ perlawanan antara Jerman dan Paraguay dengan jumlah tontonan mencecah 503,000.
Biarpun pelbagai kritikan dan kecaman diberikan, dia didakwa masih ‘berdegil’ dengan terbaharu lelaki itu dipercayai menyiarkan ‘live’ perlawanan seterusnya antara England dan Congo DR. – KOSMO! ONLINE
@amnazhanthank you everyone for keep support , I will be back ❤️♬ original sound – celinesun🦋✨














