fbpx
Hanis akhirnya mengetahui bahawa rumah tangganya yang telah dibina selama 10 tahun adalah satu penipuan apabila isteri pertama suaminya sendiri tampil ke rumahnya membongkar rahsia lelaki itu. – IHSAN SHAH HASAN

‘Saya bukan sengaja sondol’ – Wanita minta cerai lepas tahu dirinya isteri kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELIHAT rakan-rakan lain bahagia bersama keluarga tersayang tanpa sebarang rahsia membuatkan seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Hanis berasa sayu.

Dahulu, dia menyangka dia bahagia bersama keluarga kecilnya, namun itu semua musnah sekelip mata selepas rahsia besar suaminya terbongkar.

Perkahwinannya yang dibina selama 10 tahun rupa-rupanya hanyalah sebagai isteri kedua.

“Saya cuba mempertahankan hubungan bersama suami sebelum ini demi anak-anak yang kian membesar. Namun, apabila mendapat tahu bapa kepada anak-anak saya rupa-rupanya milik wanita lain juga, seluruh dunia saya rasa musnah,” katanya kepada K-Wanita.

Menceritakan tentang permulaan konflik tersebut, Hanis berkata, segalanya terbongkar apabila isteri pertama suaminya tiba-tiba datang ke rumah dengan cara yang baik untuk berbincang.

“Pada mulanya, saya langsung tidak percaya. Saya ingat wanita itu sengaja mahu membuat cerita sebab sepanjang perkahwinan kami, suami melayan saya dengan cukup baik dan tiada sebarang tanda yang mencurigakan.

“Tetapi selepas isteri pertama itu mengeluarkan segala bukti hitam putih termasuk sijil nikah dan dokumen anak-anaknya, hancur luluh hati saya memikirkan nasib diri dan anak saya,” jelasnya dengan nada sebak.

Dia berkata, sifat suami yang penyayang dan sentiasa menyediakan nafkah secukupnya membuatkan Hanis tidak mempunyai sebarang perasaan curiga.

Malah, anak-anak mereka juga sangat rapat dengan bapa mereka dan langsung tidak pernah mengesyaki apa-apa.

Sikap percaya yang keterlaluan terhadap kerjaya suami akhirnya memakan diri. Hanis mengakui bahawa dia meletakkan keyakinan penuh kerana menyangka suaminya seorang yang setia.

Disebabkan kekerapan suami keluar bekerja dalam tempoh berminggu-minggu, dia menganggap itu adalah sebahagian daripada pengorbanan sebuah keluarga.

“Sebab utama saya langsung tidak menaruh sebarang syak wasangka adalah kerana kerjaya suami. Suami saya selalu kerja outstation (luar kawasan), jadi saya tak curiga setiap kali dia perlu keluar bekerja dalam tempoh yang lama,” luahnya.

Ketika berhadapan dengan situasi tegang itu, Hanis sedar dia tidak mampu meluahkan kemarahan kepada wanita di hadapannya.

Sebagai seorang wanita, dia cuba meletakkan diri di tempat madunya bagi memahami situasi sebenar.

Dia mengambil pendekatan matang untuk menjernihkan keadaan sesama wanita agar tiada salah faham yang berpanjangan.

“Sebelum itu, saya terangkan dekat isteri pertama yang saya pun tak tahu langsung yang suaminya sudah berkahwin. Saya tegaskan yang saya bukan perampas yang sengaja menyondol kebahagiaan orang.

“Selepas segala-galanya jelas, saya beritahu dia yang saya reda untuk tarik diri sebab terlalu kecewa. Saya tak sanggup hidup dalam perkongsian yang penuh dengan penipuan,” jelasnya.

Menurut Hanis, sebaik sahaja dia meminta penjelasan daripada suaminya pada malam kejadian, lelaki itu akhirnya mengaku bersalah selepas tidak mampu menolak bukti yang ada.

Bekas suaminya itu terus melutut di kakinya sambil menangis di hadapan anak-anak mereka yang sudah mula memahami erti konflik rumah tangga.

“Bila ditanya kenapa sanggup menipu saya selama 10 tahun, suami kata sebab dia terlalu sayangkan saya. Dia kata, dia takut nak beritahu perkara sebenar kerana bimbang saya akan meninggalkannya jika tahu dia sudah berkeluarga.

“Dia minta peluang kedua dan merayu saya fikirkan masa depan anak-anak kami yang sedang meningkat dewasa,” katanya.

Bagaimanapun, alasan itu tidak mampu mengubati luka di hati Hanis yang telah dikhianati sekian lama.

Bagi Hanis, tempoh itu bukanlah satu waktu yang singkat untuk dimaafkan begitu sahaja, apatah lagi melibatkan maruah dirinya yang rupa-rupanya telah bermadu tanpa kerelaan.

Kehadiran isteri pertama yang datang secara matang dan tenang juga menyedarkan Hanis bahawa wanita itu juga merupakan mangsa keadaan yang terpaksa menanggung perit berkongsi kasih tanpa sedar.

Disebabkan rasa kecewa yang amat mendalam dan enggan terus hidup dalam penipuan, Hanis akhirnya mengambil keputusan nekad untuk memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah demi maruah diri serta anaknya dan kemudian disahkan bercerai.

Dia nekad untuk membina kehidupan baharu bersama anak-anak biarpun sedar status ibu tunggal bukanlah satu jalan yang mudah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN