PETALING JAYA – Kumpulan pertama membabitkan 16 warden lelaki yang merupakan bekas anggota tentera mula berkhidmat sepenuh masa di 10 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara sejak kelmarin.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua warden terbabit turut menjalani sesi taklimat, orientasi dan pengenalan maktab yang dikendalikan pihak pengurusan serta pengetua MRSM masing-masing.
Menurut beliau, sesi tersebut bertujuan memberi pendedahan awal mengenai struktur pengurusan maktab, peraturan serta peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap warden.
“InshaAllah, 16 lagi warden wanita bekas tentera akan menyusul minggu hadapan.
“Setiap MRSM diperuntukkan empat orang warden iaitu dua lelaki dan dua wanita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, 10 MRSM yang terlibat ialah MRSM Besut, Balik Pulau, Muadzam Shah, Sultan Azlan Shah, Serting, Kubang Pasu, Jeli, Parit, Kuala Berang dan Muar.
Tambahnya, pelaksanaan itu akan diperluaskan ke 58 MRSM lain di seluruh negara bermula awal tahun hadapan, bertarikh 1 Januari 2027.
“Moga-moga hasrat kita untuk menyaksikan MRSM bebas dan sifar buli akan menjadi kenyataan,” ujarnya.
Terdahulu, Mara mengumumkan pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera sebagai langkah membanteras gejala buli.
Bagi pemilihan calon warden wanita, seramai 162 permohonan diterima dan ujian secara dalam talian diadakan pada 25 Jun lalu, manakala temu duga fizikal pula dijadualkan pada 2 Julai sebelum lantikan dibuat selepas semua proses tapisan selesai. – KOSMO! ONLINE














