fbpx
AZRY AKMAR (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Pahang di Kuantan hari ini.

Pasangan kekasih dicekup jadi ‘transporter’ dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang pembantu kedai makan bersama kekasihnya yang juga warga asing ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ dadah dalam satu serbuan di Genting Permai, Bentong, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM728,000.

“Pasangan lelaki berusia 37 tahun dan wanita berumur 35 tahun itu dipercayai menginap di sebuah hotel di lokasi terbabit sebelum mereka ditahan di kawasan parkir hotel berkenaan. Siasatan awal mendapati, pasangan terbabit bertindak sebagai ‘transporter’ dengan upah sebanyak RM5,000 untuk setiap trip dan bekalan dadah dipercayai diperoleh dari Lembah Klang untuk pasaran Pantai Timur,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, antara dadah yang dirampas adalah 2,925 gram ketamin, 1,010 gram kokain, 671 gram serbuk MDMA, 538 gram syabu serta 4.30 gram erimin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM728,510.

Tambahnya, turut disita dalam operasi itu ialah wang tunai RM1,000 dan seutas gelang emas bernilai RM1,600.

“Rampasan dadah ini dianggarkan mampu menjejaskan seramai 10,297 penagih sekiranya berjaya dipasarkan,”katanya.

Dalam pada itu Azry Akmar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 6 Julai ini bagi membantu siasatan.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Azri Akmar berkata, JSJN Pahang turut menahan 333 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Ops Hawk yang dilaksanakan di seluruh negeri selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Jun lalu.

Katanya, operasi yang melibatkan 167 serbuan dan 393 pemeriksaan membawa kepada pembukaan 260 kertas siasatan, selain rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM762,989 serta sitaan harta bernilai RM79,600. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN