fbpx
Amran Ahmad (tengah) menunjukkan minuman berjus, pek biskut serta pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai seberat 4.83 tan bernilai RM300.72 juta dalam lima serbuan baru-baru ini. Foto NOR SHAFAWATI YUP/ KOSMO!

Dadah RM300.72 juta tumpas, heroin disorok dalam jus oren

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah berskala besar melibatkan rampasan 4.83 tan dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM300.72 juta dalam lima serbuan berasingan sepanjang April hingga Jun tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, kes terbesar adalah sitaan 3,396.6 kilogram (kg) heroin bernilai RM169.83 juta pada 15 Jun lalu dengan sindiket dikesan memasukkan cecair dadah itu dalam air minuman berjus yang dibawa masuk dari sebuah negara Asia barat secara transit ke Australia.

“Dalam operasi kira-kira pukul 12 tengah hari, sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor diperiksa dan menemui 18,870 kotak minuman berperisa mangga, oren dan nanas mengandungi cecair disyaki
heroin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Amran, sindiket antarabangsa dikesan sering menukar modus operandi dan dalam kes tersebut dagangan diikrar sebagai pelbagai bungkusan makanan termasuk biskut, sabun dan gel rambut.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua pada pukul 9.45 malam, 18 Mei lalu, dua suspek warga tempatan berusia 20-an dan 30-an yang merupakan ejen perkapalan ditahan hasil pemeriksaan ke atas 41 kotak dagangan di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

“Daripada jumlah tersebut, 11 kotak didapati berisi 269 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ‘cannabis bud’ seberat 161.39 kg bernilai RM12.91 juta. Ejen perkapalan itu ditahan kerana membuat ikrar palsu, kotak dagangan itu diikrarkan sebagai makanan kering untuk dihantar ke Eropah,” katanya.

Tambah Amran, tiga suspek warga asing dari Eropah dan Asia Tenggara pula ditahan dalam serbuan ketiga di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada pukul 12.35 tengah hari, 13 Mei lalu dengan penemuan kotak penghantaran mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 2.68 kg.

“Pemeriksaan dalam bilik hotel turut menemui pelbagai jenis dadah dengan berat 3.43 kg serta 0.0086 kg bahan racun psikotropik dengan nilai sitaan keseluruhaan RM978,778,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN