fbpx

Kanak-kanak hilang ditemukan maut dalam parit kebun kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN DATUK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah parit di kawasan kebun kelapa sawit di Sungai Sumun, Hutan Melintang semalam.

Mayat Muhammad Faith Fatih Abdullah Fattah itu ditemukan oleh orang awam pada pukul 10.08 malam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bagi mengesan mangsa.

Difahamkan, mangsa dijumpai pada jarak kira-kira 330 meter dari rumahnya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 6.24 petang mengenai kehilangan seorang kanak-kanak lelaki di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran rumah mangsa.

Katanya, berdasarkan maklumat, kehilangan kanak-kanak itu disedari selepas mangsa didapati tiada di dalam rumah manakala pintu hadapan rumah berada dalam keadaan terbuka.

“Usaha pencarian awal telah dilakukan oleh bapa mangsa di sekitar rumah dan kawasan kebun kelapa sawit berhampiran, namun gagal menemui mangsa.

“Laporan polis kemudiannya dibuat pada pukul 3.30 petang oleh bapa kanak-kanak itu bagi melaporkan kehilangan anaknya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi SAR diaktifkan melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang serta agensi berkaitan termasuk orang awam.

Katanya, seekor anjing pengesan (K9) dari pasukan polis turut digunakan bagi membantu pencarian di sekitar kawasan kebun kelapa sawit di belakang rumah mangsa.

“Mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit itu sebelum pasukan bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 11.11 malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN