SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang sejak seminggu lalu selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Rimba, Seksyen 16 di sini, dipercayai selepas berlaku perselisihan faham dengan ibunya.
Kehilangan Muhammad Shazriq Ziqri Abdullah, 14, disedari ibunya pada 23 Jun lalu selepas remaja berkenaan keluar dari kediaman kira-kira pukul 6.45 pagi sebelum tidak pulang ke rumah sehingga kini.
Difahamkan remaja itu sempat meninggalkan surat kepada ibunya dengan menyatakan dia tidak mahu dicari dan akan kembali selepas mampu menanggung diri sendiri serta ibunya
Dalam nota itu juga, dia menyatakan pemergiannya bukan kerana benci, sebaliknya atas dasar sayang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 24 Jun 2026 yang dibuat oleh ibu mangsa setelah gagal mengesan anaknya.
“Polis telah membuka kertas siasatan orang hilang. Siasatan dijalankan mengambil kira semua kenalan dan tempat yang pernah dikunjungi oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Razi bin Sahari di talian 019-5717076. – KOSMO! ONLINE














