fbpx
MOHD. ROZAKI (dua dari kanan) menunjukkan hasil tanaman golden melon yang diusahakan oleh pelajar PPKI SMK Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan.

Pelajar PPKI usaha ladang fertigasi golden melon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka, di sebalik pagar sebuah sekolah menengah, sekumpulan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) berjaya mengusahakan tanaman golden melon secara fertigasi sehingga mampu menghasilkan buah berkualiti.

Projek Tanaman Secara Fertigasi Golden Melon PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku di Pasir Puteh, Kelantan itu bukan sekadar aktiviti kokurikulum biasa, sebaliknya menjadi platform membentuk kemahiran vokasional, keyakinan diri dan kebolehpasaran pelajar selepas tamat persekolahan.

Melalui 390 polibag golden melon, Projek fertigasi PPKI SMK Cherang Ruku berpotensi menghasilkan lebih 350 biji buah berkualiti dengan nilai jualan melebihi RM6,000 bagi satu musim penanaman.

Ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan keusahawanan dan kemahiran pertanian moden kepada para pelajar.

Harga runcit buah segar golden melon mampu mencecah RM12 sekilogram, manakala harga sebiji di ladang boleh mencapai RM28.

Projek berkenaan dibimbing oleh dua guru iaitu Nor Azman Zakaria dan Mohamad Ridzuan Abdul Aziz, dengan penglibatan aktif 20 pelajar orang kurang upaya (OKU) menerusi pembelajaran Kemahiran Vokasional Spesifik (KVS).

Menurut Nor Azman, projek tersebut bermula pada penghujung tahun 2024 hasil cetusan idea bekas Guru Penolong Kanan PPKI, Allahyarham Wan Muhammad Hafiz Wan

Mohammad Ali bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kemahiran pertanian moden.

Selain itu, projek tersebut mampu menyediakan mereka dengan kemahiran asas yang boleh digunakan selepas tamat persekolahan.

“Matlamat utama kami adalah memberi peluang kepada pelajar berkeperluan khas mempelajari kemahiran tanaman secara profesional, selain membuka ruang kepada mereka memperoleh pensijilan diiktiraf.

“Melalui projek ini, pelajar bukan sahaja belajar menanam, malah memahami keseluruhan proses pengeluaran tanaman sehingga ke peringkat pemasaran,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.

Nor Azman berkata, projek itu menggunakan 390 polibeg yang ditempatkan di tiga tapak tanaman berkeluasan 163.5 meter persegi, lengkap dengan rumah hijau bernilai kira-kira RM30,000.

Lebih membanggakan, pelajar yang terlibat dilatih berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan

Kemahiran bagi membolehkan mereka dinilai untuk memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Modular Operasi Pengeluaran Tanaman.

SERAMAI 20 pelajar PPKI terlibat dalam tanaman golden melon.

Ketua projek berkenaan yang juga pelajar PPKI, Ahmad Azfar Atiqullah Abdullah, 17, berkata, sepanjang tempoh latihan, pelajar diberikan bimbingan secara teori di dalam bilik darjah dan latihan praktikal di lapangan bagi memastikan kemahiran mengurus tanaman dikuasai sepenuhnya.

“Kami dimaklumkan oleh guru bahawa tanaman golden melon mempunyai nilai pasaran yang baik, selain sesuai ditanam menggunakan sistem fertigasi.

“Buah ini mengambil masa sekitar 72 hari untuk dituai bermula daripada proses semaian biji benih.

“Tempoh tersebut memberi peluang kepada kami mempelajari setiap peringkat penjagaan tanaman secara terperinci,” ujarnya.

Selain menanam, pelajar turut didedahkan dengan kemahiran pemasaran melalui penganjuran Hari Terbuka Jualan Golden Melon bagi membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan pelanggan yang membabitkan warga sekolah dan masyarakat setempat.

Seorang lagi pelajar, Naim Azizulhakim Abdullah, 17, berkata, program itu memberi pengalaman berharga kepada pelajar untuk berkomunikasi dengan masyarakat, mempromosikan produk dan memahami konsep jual beli dengan mempraktikkan ilmu (teori) yang diajar di bilik darjah.

“Pelajar seperti kami lazimnya mempunyai cabaran dalam aspek komunikasi dan interaksi sosial.

“Melalui projek ini, kami dapat belajar bergaul dengan masyarakat, sekali gus meningkatkan keyakinan diri serta semangat bekerjasama dalam kumpulan.

“Kami bangga dan bersemangat melihat hasil tanaman yang diusahakan ini mendapat sambutan dan dihargai pembeli. Ia menjadi suntikan motivasi dan semangat yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Mohd. Rozaki Bakar berkata, kejayaan projek tersebut turut dibantu oleh syarikat MCG Fertigation and Training yang menyediakan khidmat nasihat, latihan serta bekalan bahan mentah pertanian kepada guru serta pelajar.

Katanya, selain projek golden melon, pelajar PPKI turut mengusahakan tanaman sayuran secara fertigasi dan tanaman sayuran secara konvensional yang membabitkan sawi, kangkung dan pelbagai sayuran jangka pendek.

“Dengan jumlah keseluruhan 72 murid PPKI pada tahun ini, projek seperti ini dilihat mampu menjadi jambatan penting dalam melahirkan golongan berkemahiran, berdikari dan bersedia menghadapi alam pekerjaan.

Katanya, apa yang pasti, projek fertigasi golden melon membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk berjaya.

“Berkat ketekunan bimbingan yang betul dan peluang sesuai, pelajar pendidikan khas juga mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa serta membanggakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN