SEPANG – Seorang peniaga durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat hantaran komunikasi palsu di media sosial berhubung pembekalan bahan api, April lalu.
Tertuduh, Nurhafizul Badrul Hisham, 34, dikesan membuat hantaran itu di Facebook menerusi akaun Nurhafizul Badrul Hisham dengan niat menyakitkan hati mana-mana orang pada 12 April lalu.
Hantaran itu kemudian dilihat di Aras 8, Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada pukul 6.48 pagi, 13 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Hakim Ahmad Fuad Othman membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 dan menetapkan tarikh 5 Ogos ini untuk serahan dokumen.
Terdahulu, pegawai pendakwa MCMC, Mohamad Farhan Kamarudin mencadangkan jaminan RM10,000, namun peguam Muhammad Nazrul Hakim Md. Nazir merayu jumlah yang rendah kerana anak guamnya tidak memiliki pendapatan tetap dan hanya menjual durian. – KOSMO! ONLINE














