SEREMBAN – Inisiatif Bakat Madani menyasarkan seramai 25,000 individu akan mengikuti program pembangunan kemahiran, pekerjaan berkualiti serta mobiliti sosial yang lebih baik dalam tempoh setahun bermula pertengahan tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif itu menghimpunkan kekuatan kolektif syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petronas dalam satu usaha nasional bagi memperkasa pembangunan bakat negara serta memperluaskan akses kepada latihan dan peluang pekerjaan berkualiti.
Menurut beliau, kejayaan agenda tersebut memerlukan sebuah negara yang stabil, aman dan bersatu supaya usaha memperkasa ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Negara kita aman, dasar kita jelas. Kita mempunyai penjawat awam yang tegas dan cekap, manakala Petronas pula memiliki imej yang baik serta prestasi cemerlang yang diiktiraf antara yang terbaik.
“Semua ini membuka peluang untuk mengangkat keupayaan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bakat Madani di Bandar Sri Sendayan, di sini hari ini.
Anwar berkata, keadilan bukan sekadar membuka peluang kepada semua, sebaliknya memastikan akses yang adil turut diberikan kepada mereka yang datang daripada latar belakang kurang bernasib baik.
“Keadilan hanya akan tercapai apabila ruang dan peluang diberikan kepada lebih ramai. Keadilan bukan sekadar peluang untuk bersaing, tetapi turut melibatkan kemudahan serta akses yang saksama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














