fbpx
SEBAHAGIAN daripada dadah yang dirampas susulan penahanan pasangan suami isteri di daerah Kulai, Khamis lalu.

Suami isteri diberkas jadikan rumah stor dadah RM3.59 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Tindakan pasangan suami isteri menjadikan rumah kediaman sebagai stor penyimpanan dan pusat pembungkusan semula dadah terbongkar apabila mereka ditahan polis dalam serbuan di daerah Kulai, Khamis lalu.

Serbuan kira-kira pukul 10.50 pagi itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dan isterinya, 34, hasil risikan berterusan polis dengan kerjasama orang awam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemukan pelbagai jenis dadah yang dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

Menurutnya, antara yang dirampas ialah 16 paket plastik disyaki serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 21,766 gram, 44 paket plastik mengandungi 1,888 gram serbuk ekstasi, 1,621 biji pil ekstasi seberat 570 gram, 6,400 biji pil Erimin 5 serta tiga paket ketamin.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 26.94 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM3.59 juta.

“Rampasan dadah itu juga dipercayai boleh digunakan oleh kira-kira 90,277 orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi sama, polis turut menyita tiga buah kereta, wang tunai RM25,000 serta pelbagai barang kemas dengan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM206,752.

Ab Rahaman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai pengedar dan aktif menjalankan kegiatan itu sejak awal Januari lalu.

Katanya, pasangan terbabit dipercayai menggunakan rumah mereka sebagai lokasi penyimpanan sebelum dadah dibungkus semula untuk tujuan pengedaran.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine manakala isterinya negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Semakan turut mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN