LOS ANGELES – Pengendali Kanada, Jesse Marsch menyifatkan barisan pemainnya sebagai ‘wira negara’ selepas mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 buat kali pertama.
Pada aksi pusingan 32 terbaik semalam, skuad The Maple Leaf mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0 menerusi jaringan Stephen Eustaquio.
Menurut Marsch, apa yang ditampilkan oleh pasukannya sepanjang 90 minit sangat hebat dan semua pemain sedar mereka sedang mencipta sejarah buat bola sepak negara.
“Saya mahu mereka tahu betapa besarnya detik ini untuk bola sepak Kanada. Ada yang kata tindakan saya mengumpulkan pemain di tengah padang hanya untuk menunjuk-nunjuk, tetapi saya tidak peduli apa yang orang mahu katakan.
“Secara jujur, kami agak kecewa kerana terpaksa beraksi di luar Kanada selepas melihat sambutan penyokong terhadap Piala Dunia dan pasukan ini. Namun, pemain tidak panik dan tahu ini adalah peluang yang sangat besar (untuk melangkah jauh),” ujarnya.
Sementara itu, Eustaquio menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hadiah buat seluruh peminat yang memberikan sokongan luar biasa sepanjang kempen kali ini.
“Gol itu memang istimewa, tetapi ketika saya melepaskan rembatan, saya rasa seluruh rakyat Kanada turut melakukan sepakan bersama saya. Semua orang memberikan sedikit kekuatan sehingga bola itu masuk ke gawang,” katanya. – AGENSI














