JASIN – Tiga lelaki bersenjatakan parang menceroboh sebuah kebun sebelum melarikan empat bakul berisi durian jenis IOI dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR di Anjung Gapam, Bemban di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi apabila dua remaja berusia 17 dan 18 tahun yang menjaga kebun berkenaan didatangi suspek menaiki kereta jenis Perodua Myvi.
Katanya, suspek mengambil empat bakul besar durian IOI sebelum memasukkannya ke dalam kereta.
“Apabila salah seorang remaja terbabit menegur tindakan mereka, seorang suspek bertindak memarahinya sebelum mengeluarkan sebilah parang bagi menakutkannya.
“Dalam masa sama, seorang lagi suspek melarikan motosikal Yamaha Y15ZR milik bapa salah seorang mangsa sebelum beredar,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Hasil risikan dan maklumat diperoleh, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Jasin menahan empat lelaki berusia 27 hingga 35 tahun secara berasingan bermula pukul 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi tadi di Jasin, Bertam Hulu, Kampung Paya Rumput dan Masjid Tanah.
“Polis merampas tiga buah telefon bimbit, kereta Perodua Myvi, motosikal Yamaha Y15ZR yang dilarikan dan sebilah pisau lipat dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Dua daripada suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu, manakala seorang lagi dikenal pasti melalui pengecaman oleh mangsa sebagai individu yang melarikan motosikal,” katanya.
Robert berkata, suspek mendakwa pada awalnya diajak seorang rakan yang masih bebas dikenali sebagai ‘Wan Linggi’ untuk mencuri sport rim sebelum melarikan motosikal apabila melihat kenderaan itu berada di lokasi. Tiga daripada suspek itu positif dadah jenis methamphetamine, selain memiliki pelbagai rekod jenayah dan dadah. – KOSMO! ONLINE














