KLANG – Kegiatan sindiket pemalsuan dokumen dan penggunaan cap keselamatan palsu yang aktif sejak tiga tahun lalu akhirnya tumpas menerusi Op Serkap di sekitar daerah ini, semalam.
Dalam operasi pada pukul 1.45 tengah hari itu, Jabatan Imigresen (JIM) Selangor menahan 12 warga asing berusia 25 hingga 40 tahun termasuk dalang utama iaitu seorang wanita warga India.
Timbalan Pengarah JIM Selangor, Mohamad Khusairi Kamarudin berkata, pemeriksaan mendapati suspek merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang kepada seorang warga tempatan.
Katanya, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu dan menyasarkan warga asing sebagai pelanggan.
“Modus operandi sindiket adalah dengan membawa pelanggan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Mereka kemudian ditempatkan di sebuah rumah transit di sekitar Klang selama satu hingga dua minggu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, sindiket turut menyediakan pelbagai dokumen palsu termasuk rekod perjalanan bagi membuktikan warga asing mempunyai sejarah perjalanan yang kukuh.
Tegasnya, sindiket turut menghasilkan rekod pekerjaan palsu di Malaysia dengan menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara palsu.
“Seramai 12 tahanan terdiri daripada warga India, Bangladesh dan Sri Lanka kini ditempatkan di depot imigresen untuk siasatan lanjut.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket termasuk kemungkinan penglibatan individu lain di dalam dan luar negara,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l), 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














