fbpx
KANADA percaya mereka perlu meningkatkan tahap waspada supaya tidak mengalami nasib sama seperti Korea Selatan. - AFP

Piala Dunia 2026: Kanada akui bimbang kekuatan lawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MONTERREY – Biarpun tewas kepada Switzerland, Kanada berjaya menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan B sekali gus melayakkan diri ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah negara itu.

Kanada akan menentang Afrika Selatan yang muncul naib juara Kumpulan A, dalam aksi pusingan 32 terbaik di Los Angeles selepas pasukan itu juga mencipta sejarah mara buat kali pertama selepas mengejutkan Korea Selatan 1-0.

Pengendali Kanada, Jesse Marsch mengakui tidak ada sebab untuk Kanada memandang rendah kemampuan Afrika Selatan ketika Korea Selatan yang dijangka menguasai perlawanan, berdepan kakalahan.

“Apa yang anda lihat pada Afrika Selatan adalah sebuah pasukan yang sangat fizikal, sangat pantas apabila mempunyai ruang terbuka dan kini memiliki keyakinan yang tinggi.

“Saya benar-benar kagum dengan persembahan mereka. Pada penghujung perlawanan, jelas mereka memang layak menang dan merupakan pasukan yang lebih baik. Mereka akan memberikan cabaran besar kepada kami,” katanya.

Pertahanan Kanada, Alistair Johnston juga mengakui tidak menyangka bakal berdepan Afrika Selatan ketika mereka sebelum itu merasakan perlu berentap dengan Korea Selatan yang dilihat sebagai pasukan lebih baik.

“Kami semua sudah melihat pelbagai kemungkinan. Nampaknya Korea mungkin pilihan ramai, jadi saya tidak terlalu memberi perhatian. Kemudian saya dengar Afrika Selatan menjaringkan gol, bertahan dengan baik dan akhirnya menang.

“Ada sebab kami bertemu mereka. Mereka menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan, jadi mereka jelas sebuah pasukan yang kuat.

“Saya rasa ia akan menjadi perlawanan yang terbuka. Kedua-dua pasukan gemar berlari dan bermain serangan balas. Akan ada banyak pemain berbakat di atas padang,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN