KUALA LUMPUR – Dipandu pada kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan lalu terbabas dipercayai menjadi punca kemalangan sebuah kereta jenis BMW 328I Sport yang terbakar di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke), awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 pagi itu, dua lelaki tempatan iaitu pemandu dan penumpang hadapan masing-masing berusia 22 dan 21 tahun disahkan meninggal dunia akibat terperangkap dalam kenderaan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku dari arah Jalan Duta menghala ke Selayang.
“Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit hilang kawalan dan melanggar melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri jalan sehingga menyebabkan kenderaan terbakar.
“Punca kemalangan dipercayai disebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, pemandu kereta merupakan pelajar di Universi Brisbane, Australia manakala penumpang hadapan membabitkan penuntut Universiti Sunway.
Katanya, turut berada di dalam kenderaan tersebut ialah seorang penumpang lelaki warga Singapura berusia 20 tahun.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar.
“Penumpang belakang warga Singapura sempat keluar sebelum kebakaran berlaku dan mengalami kecederaan ringan pada tangan serta kaki serta telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian selain memohon rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian serta menjalankan soal siasat awal terhadap mangsa yang terselamat.
Katanya, proses pengecaman terhadap kedua-dua mangsa yang rentung akan dijalankan melalui Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman dashcam di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum inj, Kosmo! melaporkan dua mangsa rentung manakala seorang lagi berjaya diselamatkan selepas kenderaan dinaiki mereka terbakar di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) berhampiran susur keluar Jalan Kuching, awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE














