JOHOR BAHRU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) membuat penampilan pertama dalam kancah politik negara apabila mengesahkan seramai 15 calon sulung mereka menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, 11 Julai depan.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, calon yang ditampilkan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk mereka dalam kalangan profesional, ahli perniagaan dan ahli akademik serta orang muda.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu menegaskan politik negara memerlukan pendekatan baharu yang lebih matang dan tidak toksik, dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu rakyat berbanding perebutan kuasa sesama parti politik.
Menurutnya, rakyat ketika ini semakin muak melihat pertikaian berterusan dalam kalangan parti politik yang lebih banyak tertumpu kepada percaturan jawatan dan kedudukan, sedangkan masalah sebenar yang dihadapi rakyat seperti kos sara hidup, kesesakan lalu lintas dan pemilikan rumah memerlukan perhatian segera.
“Platform yang dibawa Bersama melalui Kancil bukan bertujuan menambah perpecahan politik, sebaliknya mahu menyediakan ruang politik yang lebih sihat serta bebas daripada budaya serangan dan konflik politik yang berpanjangan.
“Rakyat tidak mahu lagi politik yang hanya bercakap soal siapa berkawan dengan siapa atau siapa menikam siapa. Mereka mahukan wakil rakyat yang memahami masalah mereka dan bersedia membawa suara rakyat tanpa terikat dengan kepentingan politik tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Bersama dan Pelancaran Trak Kancil PRN Johor di Paragon Market Place di sini hari ini.
Rafizi turut menegaskan bahawa rakyat sebenarnya tidak memilih parti semata-mata, sebaliknya memilih individu yang diharapkan mampu menjadi wakil rakyat yang benar-benar memperjuangkan kepentingan penduduk di kawasan masing-masing.
Katanya, wakil rakyat yang baik bukan sekadar hadir ketika musim pilihan raya atau menyalurkan bantuan semata-mata, tetapi individu yang berani membawa suara rakyat dalam isu melibatkan kehidupan harian, termasuk masalah perumahan, pembangunan, tanah dan kebajikan masyarakat walaupun berdepan pelbagai cabaran politik.
Terdahulu, senarai nama 15 calon Bersama diumumkan Presidennya, Syukri Razab. – KOSMO! ONLINE
Berikut senarai calon Bersama bagi PRN Johor ke-16:
N14: Bukit Naning – Iskandar Md. Alias
N29: Mahkota – Abd. Hamid Ali
N40: Tiram – Dr. Harith Fakhrudin Abdul Malek
N41: Puteri Wangsa – Nicholas Paul Vincent
N42: Johor Jaya – Lau Yi Leong
N43: Permas – Dr. Zamil Najwah
N44: Larkin – Norsinah Abu
N45: Stulang – Stanley Tan Boon Heng
N46: Perling – Boo Wei Han
N47: Kempas – Salamahafifi Yusnaieny
N48: Skudai – Eugene Chua
N49: Kota Iskandar – Sahrudin Omar
N50: Bukit Permai – Aidil Riduan Mohd. Yusof
N51: Bukit Batu – G. Tamili
N52: Senai – Tew Chian How














