fbpx
CHENG HOE kembali menggalas tugas selaku pengendali pasukan kebangsaan susulan pemergian Cklamovski.

Tetap kena cari pengendali baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

‘SEMENTARA waktu boleh, untuk jangka panjang kena cari lain’.

Itulah pandangan yang dilemparkan oleh pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kehadiran Tan Cheng Hoe selaku pengendali interim skuad Harimau Malaya.

Menurut Pekan, apa yang dilakukan oleh FAM selaku badan induk wajar diterima memandangkan Cheng Hoe masih berada dalam organisasi itu selaku pengarah teknikal skuad kebangsaan.

Pekan berkata, disebabkan kekangan masa, mungkin pemilihan Cheng Hoe terpaksa dibuat kerana pasukan negara akan mengharungi kempen Piala AFF 2026 tidak lama lagi.

“Kita anggap pelantikan Cheng Hoe adalah sebagai interim sahaja dan tiada masalah untuk semua pihak terima keputusan itu kerana tempoh (Piala AFF 2026) semakin dekat.

“Namun, jangan pula jika kita ada pencapaian pada kejohanan itu seperti mara ke separuh akhir atau sebagainya, mereka kekal menggunakan jurulatih recycle (kitar semula) kerana FAM perlu ada perancangan jangka pendek dan panjang.

“Tambahan pula Cheng Hoe pernah kena kecam sehingga terpaksa letak jawatan (selaku ketua jurulatih kebangsaan) sebelum ini,” katanya.

Sebagai rekod, Cheng Hoe dipilih untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter Cklamovski selepas meletakkan jawatan secara mengejut pada pertengahan bulan ini kerana mendapat tawaran di England.

Bekas pengendali Selangor FC itu sebelum ini telah dilantik menjadi jurulatih Harimau Malaya bermula 2018 sebelum meletakkan jawatan pada Disember 2021.

Antara pencapaian Cheng Hoe sebelum ini adalah membantu pasukan kebangsaan mara ke final Piala AFF edisi 2018 sebelum tewas kepada Vietnam dengan agregat 2-3.

Cheng Hoe dijangka mengumpulkan skuad kebangsaan pada awal bulan depan bagi mengharungi aksi Piala AFF 2026 yang akan berlangsung bermula 24 Julai nanti.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN