PETALING JAYA – Kerajaan Madani menerusi Kementerian Kesihatan, telah diperuntukkan lebih RM110.49 juta bagi tujuan pelaburan projek pembangunan fasiliti kesihatan di Negeri Sembilan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, ia merangkumi projek pembangunan jangka panjang serta kelulusan dana segera di lapangan.
Beliau berkata, insiatif itu dilakukan selepas mengadakan kunjungan ke beberapa fasiliti kesihatan di Negeri Sembilan menerusi lawatan kerja dua hari yang berakhir semalam.
“Sepanjang lawatan ini, saya telah turun ke lapangan untuk menyantuni para pesakit dan barisan petugas di tujuh buah fasiliti kesihatan.
“Saya sekali gus mengambil peluang meninjau sendiri cabaran operasi serta keperluan mendesak masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Beliau berkata, setiap sen peruntukan yang diumumkan tersebut akan dipantau rapat pelaksanaannya.
“Insya-Allah, setiap sen peruntukan yang diumumkan ini akan dipantau rapat pelaksanaannya agar manfaatnya dapat segera dikecapi oleh masyarakat dan terus memudah cara urusan petugas kesihatan kita di lapangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














