SEREMBAN – Seorang bekas ejen insurans dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang bayaran skim pelaburan milik pelanggannya berjumlah RM150,000.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Zul Ariff Ismail, 39, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan. Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula pada tarikh jatuh hukum hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya telah menyalahgunakan wang bayaran skim pelaburan sebuah syarikat insurans berjumlah RM150,000 yang diberikan oleh seorang lelaki berusia 41 tahun dengan sebab untuk mempercayai bahawa ia bukanlah hak dan milik tertuduh. Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Taman Semarak, Nilai lebih kurang pukul 10 pagi pada 5 Januari 2022.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang lelaki telah bersetuju menyertai skim pelaburan hibah ditawarkan oleh tertuduh dengan modal RM150,000 yang telah dipindahkan ke akaun milik tertuduh. Hasil rakaman percakapan, tertuduh mengaku wang tersebut telah digunakan untuk kegunaan peribadi.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan dengan alasan dia dalam tempoh rawatan penyakit kritikal di Hospital Melaka dan kini tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Saya merupakan duda mempunyai anak seorang berusia sembilan tahun yang kini dijaga bekas isteri,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurnadiahani Mohd. Ideris kemudian memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira jumlah kerugian yang besar, faktor kepentingan awam serta pengajaran kepada masyarat supaya tidak melakukan kesalahan sama. – KOSMO! ONLINE














