fbpx
Tangkap layar video yang dimuat naik di Instagram oleh Mr_wan_chai_official.

[VIDEO] Jenazah ‘terbiar’ sejam didakwa angkara pertikaian caj RM1,400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Urusan pengebumian jenazah seorang lelaki di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang didakwa tertangguh selama hampir satu jam kerana pertikaian mengenai caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 oleh pihak pengurusan sebuah masjid.

Insiden tersebut tular di media sosial selepas pendedahan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai Official melalui satu hantaran video di Instagram.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila bapa arwah yang juga ahli Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) Kampung Pandan Dalam memilih untuk menggunakan khidmat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut bagi menguruskan jenazah anaknya.

Pihak BKS dilaporkan telah menyelesaikan semua urusan awal melibatkan pengambilan jenazah di Hospital Ampang, memandikan, serta menyolatkan jenazah, namun pertikaian mula timbul apabila waris meminta borang kebenaran pengebumian jenazah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) daripada pihak pengurusan masjid.

“Pihak pengurusan masjid kemudiannya menyatakan akan caj ahli waris sebanyak RM1,400 untuk urusan jenazah. Tetapi bapa arwah tetap nak BKS yang uruskan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Susulan keengganan waris membuat bayaran, pihak pengurusan masjid didakwa bertindak menahan borang permohonan pengebumian serta permit kubur daripada keluarga mangsa.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila kehadiran dua anggota polis di tanah perkuburan mengarahkan proses pengebumian dihentikan seketika ekoran laporan yang dibuat oleh pihak masjid terbabit sehingga menyebabkan waris terpaksa menunggu lebih sejam di liang lahad.

“Sehinggalah ahli waris keluarga arwah terpaksa tunggu lebih satu jam. Selepas pihak pengurusan masjid datang ke tanah perkuburan, barulah pihak polis dan penyelia kubur benarkan BKS meneruskan pengebumian,” jelasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan rasa kesal dan berduka cita terhadap tindakan pihak masjid yang dianggap tidak sensitif dengan keluarga mangsa.

“Adakah pihak pengurusan masjid sanggup buat report (laporan) polis semata-mata sebab nak duit bayaran RM1,400? Sepatutnya dia permudah urusan pengebumian bukan menyukarkan,” ujar Zalilahmohdali .

“Sampai hati buat arwah dan keluarga macam tu. Ini urusan kebumi, kenapa nak susahkan. Selesaikan lah dulu arwah,” kata Thisisellekiko.

Sementara itu, Wan Cai menerusi hantaran tersebut menegaskan, urusan pengebumian jenazah sepatutnya diutamakan terlebih dahulu berbanding isu dokumen atau bayaran.

“Jadi sepatutnya walaupun ada pertikaian, jenazah sudah masuk dalam liang lahad, terus kebumikan dahululah, kenapa arwah pula kena jadi mangsa? Kita yang hidup kena selesaikan.

“Perkara sebegini sudah banyak kali terjadi dan pernah dibuat aduan kepada pihak berwajib tetapi tiada respons, disebabkan itu kali ini insiden dimuat naik ke media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN