PETALING JAYA – Beberapa laluan jalan raya dilaporkan terhalang akibat kejadian pokok tumbang di sekitar Kuala Lumpur susulan ribut petir dan hujan lebat yang melanda ibu negara petang semalam.
Penduduk di sekitar jalan Keramat dan Jalan Gurney meluahkan rasa terkejut selepas menyaksikan puluhan pokok besar tumbang sehingga menghalang laluan jalan raya.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Skmashriey, dia berkongsi rakaman video memaparkan jalan raya yang dipenuhi ranting, dahan dan tiang lampu yang rebah di jalan raya.
“25 tahun hidup dekat Keramat, ini kali pertama pengalaman macam lalu dekat taman tema ‘Jurassic Park’,” katanya pada hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penduduk setempat yang sudah lama menetap di kawasan berkenaan turut meluahkan rasa terkejut kerana tidak pernah berhadapan dengan situasi buruk itu.
“Sepanjang saya tinggal di Keramat selama 28 tahun, ini kali pertama tengok banyak pokok tumbang merata-rata kat jalan. Banyak pokok besar-besar pula tu,” kata Zaza_21187.
“Lalu juga sini tadi, macam naik motor dalam hutan dengan ranting-ranting kecil atas jalan raya penuh, pokok-pokok penuh,” ujar Noorazuana_z.
“Tak sangka hujan selebat itu tadi. Ingatkan dalam pejabat tak rasa apa-apa, rupa-rupanya bila keluar jadi macam ini,” tambah Winana.ryder. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














