MUAR – Pas mengumumkan senarai 11 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, termasuk calon termuda berusia 30 tahun.
Senarai calon itu diumumkan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN) di Bakri di sini, hari ini.
Beliau berkata, kira-kira 80 peratus atau lapan hingga sembilan daripada calon yang dipertaruhkan merupakan muka baharu, manakala dua daripadanya adalah calon wanita.
Menurutnya, calon termuda yang diketengahkan ialah Hasnol Hakim, 30, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau.
PAS mempertaruhkan Saifullah Abdul Wahab di DUN Jementah, Normala Sudirman (Tenang), Arshed Yahya @ Awang (Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (Maharani), Muhammad Amin Sailan (Sungai Balang), Halim Kepol (Semerah), Ahmad Rosdi Baharu (Seri Medan), Hasnol Hakim (Endau), Yuhanita Yunan (Pasir Raja), Khirul Mutanazar Ismail (Tiram) dan Mazlan Bujang (Kahang).
Normala dan Yuhanita masing-masing berusia 53 dan 51 tahun merupakan dua calon wanita yang ditampilkan.
Dalam pada itu, Mohamad Anuar Hayan pula dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi DUN Maharani yang merupakan satu-satunya kerusi dimenangi parti itu pada PRN Johor 2022.
Mengulas pengurangan jumlah kerusi berbanding PRN sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata, setiap parti membuat pertimbangan berdasarkan situasi semasa sebelum memuktamadkan strategi pilihan raya.
“Mana-mana parti yang ingin bertanding dalam pilihan raya, tentulah membuat pertimbangan berdasarkan keadaan semasa berbanding lima atau empat tahun lepas.
“Saya rasa ia tidak memberikan gambaran apa-apa yang negatif. Kita bertanding, kita nak menang dalam pilihan raya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Pas akan bertanding menggunakan logo PN pada PRN Johor kali ini. – KOSMO! ONLINE














