KUALA LUMPUR – Kurang satu peratus daripada 14 juta pengguna yang berdaftar di bawah sistem Budi Madani RON95 (Budi95) menggunakan lebih 200 liter petrol RON95 sebulan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, data penggunaan sejak pelaksanaan Budi95 pada Oktober lalu hingga Mei lepas menunjukkan trend kekal konsisten dan sistem dipantau secara harian menerusi nombor kad pengenalan (MyKad) pengguna.
“Setiap pengguna Budi95 perlu memasukkan nombor kad pengenalan dalam sistem. Kira-kira tiga juta transaksi direkodkan setiap hari, sekali gus membolehkan kerajaan menganalisis penggunaan dan memastikan ketelusan data.
“Sejak Oktober 2025 hingga Mei lalu, pelaksanaan Budi95 berjalan lancar di seluruh negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai had kuota 200 liter sebulan dan rasional pelaksanaan subsidi bersasar menggunakan MyKad.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih 80 peratus pengguna diesel menggunakan kurang 200 liter sebulan dengan purata 140 liter.
Katanya, kerajaan turut menyediakan kuota tambahan 100 liter menerusi Budi Madani Diesel kepada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak kerana ia banyak digunakan sebagai pengangkutan utama di kawasan luar bandar dan peniaga kecil.
“Berdasarkan data DOSM, sebanyak 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang 300 liter sebulan. Ini bermakna kuota 300 liter sebulan mencukupi untuk majoriti rakyat,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan MyKad dalam sistem subsidi itu berjaya menutup ruang ketirisan, menjamin bekalan bahan api ketika krisis selain memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi kerajaan. – KOSMO! ONLINE














