PUTRAJAYA – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap kemelut yang membawa kepada penangguhan Siri Berbasikal Trek dan BMX Yayasan Sime Darby (YSD) 2026 dapat diselesaikan segera menerusi rundingan bersama bagi memastikan agenda pembangunan sukan berbasikal negara tidak terjejas.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pertemuan antara kepimpinan tertinggi PKBM dan Yayasan Sime Darby perlu diadakan dalam masa terdekat bagi mencari titik persamaan berhubung isu yang mencetuskan penangguhan kejohanan tersebut.
Menurutnya, semangat saling menghormati antara kedua-dua pihak sebagai rakan strategik menjadi kunci utama dalam merungkai sebarang perbezaan yang timbul pada ketika ini.
“Perkara ini memerlukan pengurusan tertinggi YSD dan barisan Exco PKBM duduk semeja untuk membincangkan beberapa perkara. Saya percaya jika semua pihak menggunakan pertimbangan yang baik, isu ini boleh diselesaikan.
“Dalam mana-mana kerjasama, sikap saling hormat-menghormati amat penting kerana ia memudahkan segala urusan dan membantu mencapai penyelesaian terbaik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran dan Pengumuman Laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.
Sebelum ini, Yayasan Sime Darby mengumumkan penangguhan Siri Berbasikal Trek dan BMX YSD 2026 susulan beberapa perkara teknikal yang membabitkan pihaknya dan PKBM.
Mengulas lanjut, Amarjit menegaskan PKBM sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dan mencari jalan penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak, khususnya atlet muda yang bergantung kepada kejohanan itu sebagai platform pembangunan.
“Jika YSD menganggap perkara ini sebagai isu teknikal, saya menghormati pendirian mereka. Namun pada pandangan saya, ia bukanlah sesuatu yang terlalu rumit untuk diselesaikan.
“Apa yang penting ialah kedua-dua pihak saling menghormati dan mengiktiraf peranan masing-masing. PKBM amat menghargai sumbangan besar YSD terhadap pembangunan sukan berbasikal negara dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan demi kepentingan atlet,” katanya.
Beliau menambah, hubungan baik antara badan induk dan rakan penaja perlu terus dipelihara kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan sukan berbasikal negara terus dipelihara agar mampu melahirkan lebih ramai pelumba berpotensi pada masa hadapan.














