KUALA LUMPUR – ASEAN sedang meneliti pendekatan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dalam usaha mencari penyelesaian terhadap krisis berlarutan di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun terdapat sedikit perubahan di Myanmar, negara itu masih belum mencapai kemajuan seperti yang dipersetujui pemimpin ASEAN menerusi 5PC yang kekal menjadi kerangka utama ke arah pemulihan keamanan.
Menurut beliau, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina pada 8 Mei lalu bersetuju supaya menteri-menteri luar ASEAN mengadakan libat urus secara tidak rasmi dengan Myanmar bagi menilai perkembangan semasa dan menentukan langkah seterusnya.
“5PC tetap menjadi asas, namun pemimpin ASEAN mahu menteri-menteri luar memikirkan kaedah terbaik untuk bersama Myanmar mengurus pelaksanaannya.
“Jika perlu ada penambahbaikan, ia perlu mendapat kelulusan ketua-ketua negara ASEAN,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung pendekatan baharu memandangkan Myanmar masih gagal mematuhi 5PC.
Mohamad berkata, Malaysia turut mencadangkan supaya gencatan senjata selama enam bulan yang dijadual berakhir hujung Julai ini dilanjutkan sebagai fasa kedua ke arah proses damai yang lebih menyeluruh.
Katanya, Malaysia juga menggesa Myanmar menyediakan pelan hala tuju yang jelas termasuk melaksanakan dialog terangkum dengan semua pihak berkepentingan.
“ASEAN tidak mahu Myanmar terus dipinggirkan kerana keadaan itu boleh mewujudkan ruang kepada campur tangan kuasa luar yang akhirnya merumitkan lagi usaha penyelesaian konflik di negara berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia akan terus mengadakan libat urus dengan semua pihak termasuk kerajaan Myanmar, National Unity Government (NUG), People’s Defence Force (PDF) dan kumpulan bersenjata etnik bagi menyokong usaha perdamaian yang diterajui ASEAN. – KOSMO! ONLINE.














