PETALING JAYA – Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX) bakal dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 4 Julai ini, menandakan pelancaran pusat pengalaman durian bersepadu yang pertama dan terbesar di Asia.
Projek tersebut yang dibangunkan oleh sebuah syarikat runcit dan eksport durian di negara ini, MyBolehBoleh turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Tourism Malaysia.
Pengasas MyBolehBoleh, Edison Ang berkata, sebagai hab pendidikan dan pengalaman durian utama Malaysia, KLDEX akan membawa pengunjung merentasi perjalanan masa untuk meneroka asal-usul serta perkembangan unik durian Malaysia melalui arkib sejarah yang bernilai, pameran interaktif dan kandungan imersif.

Ruang pameran ini akan mengetengahkan catatan awal mengenai durian dalam sumber sejarah Eropah dan Cina, sekali gus membolehkan pengunjung mengenali semula buah yang melambangkan cita rasa Malaysia ini dari sudut budaya dan sejarah.
Selain pameran sejarah yang menarik, KLDEX turut menampilkan zon pengalaman dusun durian yang membawa pengunjung seolah-olah berada di sebuah dusun desa di Malaysia.
Pengunjung berpeluang memahami dengan lebih dekat persekitaran tumbesaran pokok durian, ekosistem dusun serta kaedah penanaman durian tempatan.
Galeri muzium juga akan memaparkan kisah-kisah yang jarang didokumentasikan, termasuk bagaimana beberapa varieti durian ikonik Malaysia menjadi terkenal serta tokoh-tokoh penting yang membantu memperkenalkannya kepada masyarakat umum.
“Visi kami adalah untuk memelihara warisan budaya durian Malaysia dan mendokumentasikan secara sistematik kisah di sebalik varieti durian unik yang berasal dari Malaysia, seperti D24, Musang King dan Black Thorn.

“Walaupun durian Malaysia terkenal di seluruh dunia, kisah-kisah berharga ini jarang diceritakan secara menyeluruh. Jika tidak dipelihara tepat pada masanya, ia mungkin semakin dilupakan,” katanya pada majlis pelancaran KLDEX di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain galeri muzium, KLDEX turut mempunyai teater imersif yang mempersembahkan kepelbagaian dan kehalusan budaya durian Malaysia melalui persembahan pentas yang menggabungkan drama, koreografi kreatif, rap dan muzik berirama.
Melalui pendekatan penceritaan yang lebih kontemporari, KLDEX berhasrat membantu pengunjung tempatan dan antarabangsa memahami durian Malaysia dengan cara yang lebih mudah didekati dan lebih diingati.
Ruang runcit serta makanan dan minuman yang terletak di bawah galeri muzium akan menawarkan pilihan makanan, minuman dan cenderamata yang dikurasi khas untuk KLDEX, bagi mencerminkan kekayaan warisan budaya Malaysia dan cita rasa durian.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, KLDEX bakal memperkenalkan lawatan dusun durian yang dikurasi khas, bagi memberi peluang kepada pengunjung memasuki dusun desa dan mengalami perjalanan durian Malaysia secara lebih menyeluruh, dari ladang ke meja hidangan. -KOSMO! ONLINE














