fbpx
ANWAR menyantuni warga perkhidmatan awam pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama penjawat awam Zon Selatan di CREaTE, Melaka, hari ini. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

PM puji penjawat awam, Malaysia catat sejarah terbaik WCR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji penjawat awam susulan kejayaan Malaysia mencatatkan kedudukan ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026, yang merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah negara.

Beliau berkata, pencapaian tersebut turut mendapat perhatian Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov yang menzahirkan pengiktirafan ketika kunjungannya ke negara itu baru-baru ini.

Ujarnya, pencapaian tersebut bukanlah hasil individu tertentu sebaliknya mencerminkan kekuatan kerja berpasukan seluruh perkhidmatan awam yang menjadi tunjang kepada kemajuan negara.

“Prestasi kita dalam tiga setengah tahun ini bukan kerana Perdana Menteri semata-mata, tetapi kerana sistem dan pasukan perkhidmatan awam di seluruh negara.

“Presiden (Serdar) sebut World Competitiveness Index, you have performed so well. Saya jawab terima kasih, tetapi ini hasil kerja seluruh pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Selatan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE), Simpang Ampat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengakui kejayaan tersebut dicapai dalam suasana mencabar termasuk berdepan dengan sikap penentangan terhadap perubahan atau resistance to change dalam sistem pentadbiran.

Menurutnya, penentangan itu bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat biasa, malah turut melibatkan pelbagai pihak termasuk golongan elit, penguasa dan pembesar yang selesa dengan amalan lama termasuk budaya rasuah serta komisen.

“Ambil tindakan rasuah mengamuk, nak bersihkan negara, bangkang, nak minta orang kerja dengan lebih baik ada protes.

“Protes nak bawa ketua jabatan yang nampak lebih cekal, lebih tegas, kena sailang. Ini yang disebut resistance to change,” katanya.

Beliau turut menegaskan, budaya menolak perubahan perlu diatasi sekiranya negara mahu terus maju serta dihormati di peringkat antarabangsa.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN