LARUT – Dua anggota polis cedera selepas diserang seorang penagih dadah menggunakan senjata dipercayai pisau ketika pihak berkuasa cuba menahannya di sebuah pondok di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Selama di sini semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama menerima maklumat mengenai seorang lelaki dipercayai penagih dadah berada di pondok berkenaan yang terletak bersebelahan sebuah rumah tanpa nombor di kampung terbabit kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Selama telah menjalankan pemantauan di lokasi sebelum bertindak membuat tangkapan terhadap suspek.
“Semasa proses tangkapan dijalankan, suspek telah bertindak agresif dengan menyerang pihak polis menggunakan senjata tajam dipercayai sebilah pisau sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian tersebut, dua orang pegawai rendah polis berpangkat sarjan berumur 44 tahun dan konstabel, 27, telah mengalami kecederaan akibat bergelut dengan suspek.
Mohd. Alwi berkata, kedua-dua anggota polis berkenaan telah mendapat rawatan hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Susulan kejadian tersebut, pihak polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek.
“Pelbagai tindakan telah diambil termasuk perlaksanakan operasi tutup di laluan keluar dan masuk sekitar kawasan kejadian bagi mengesan pergerakan suspek,” katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – KOSMO! ONLINE














