SHAH ALAM – Dakwaan berhubung penyerahan semula wang tunai RM10,000 dalam kes kehilangan dompet seperti yang tular di media sosial ketika ini antara perkara yang sedang diperincikan dalam siasatan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan kes berkenaan masih belum dilengkapkan sepenuhnya dan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk mendapatkan beberapa arahan serta pandangan lanjut.
“Itu dakwaan daripada suspek dan ini kami katakan siasatan kami belum selesai sepenuhnya.
“Pihak TPR telah memberikan beberapa arahan supaya dapat diperincikan dan diperjelaskan.
“Justeru, untuk soalan itu saya tidak boleh memberikan ulasan kerana itu antara aspek kita sedang kenalpasti,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Selangor.
Jelas beliau, susulan siasatan masih belum lengkap sepenuhnya, maka suspek telah diberikan jaminan dulu.
“Ini sehingga siasatan dilengkapkan dan mengembalikan kertas siasatan kepada TPR selepas kita dapat mendapat beberapa arahan dan nasihat supaya dilengkapkan siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang wanita warga China mendakwa kehilangan dompet mengandungi wang tunai RM10,000 ketika berada di sebuah pasar raya di Semenyih.
Bagaimanapun, dompet tersebut kemudiannya diserahkan semula oleh seorang lelaki, namun timbul pertikaian apabila wanita berkenaan mendakwa wang tunai RM10,000 yang disimpan di dalam dompet itu telah hilang.
Dalam video tular itu, lelaki terbabit menafikan mengambil wang berkenaan dan mendakwa hadir bagi memulangkan dompet yang ditemuinya. – KOSMO! ONLINE














