KUALA LUMPUR – Seramai 30 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) menerusi Ops Little Middle East di One South Plaza di sini semalam.
Operasi bersepadu dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dilaksanakan susulan aduan awam dan risikan selama seminggu di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing terutama dari Asia Barat.
JIM berkata, operasi yang bermula pada pukul 12.30 tengah hari itu melibatkan 53 pegawai Cawangan Tindakan Khas dan Bahagian Penguatkuasaan JIM serta lima pegawai KPDN.
“Sebanyak 15 premis perniagaan diperiksa melibatkan restoran, kiosk makanan, pusat jualan dan premis komersial lain yang disyaki menggaji dan melindungi warga asing tanpa kebenaran yang sah.
“Hasil pemeriksaan ke atas 64 individu mendapati seramai 30 warga asing ditahan bagi membantu siasatan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Mereka terdiri daripada warga Yaman, Somalia, Afghanistan, Ghana, Pakistan dan Bangladesh berusia 26 hingga 35 tahun.
“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan dan menyalahgunakan pas yang diberikan,” ujarnya.
Tambahnya, satu Borang 29 saman turut dikeluarkan kepada seorang warga tempatan untuk siasatan lanjut. Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen untuk tujuan siasatan.
JIM berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan warga asing yang tinggal secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan kerajaan.
Sementara itu, KPDN mengenakan kompaun berjumlah RM300 terhadap seorang pemilik premis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atas kesalahan yang dikesan ketika pemeriksaan. – KOSMO! ONLINE














