PETALING JAYA – Seorang wanita warga asing ditemukan tidak bernyawa dengan beberapa kesan kecederaan pada badan dalam kejadian di sebuah kondominium di Bandar Sunway, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 20-an merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenda M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 11.03 pagi.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis telah pergi ke lokasi kejadian dan menemukan seorang wanita yang dipercayai telah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian tersebut, M. Hussin Sollehuddin, berkata, polis menahan seorang lelaki warga asing di lokasi yang sama bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu juga merupakan pelajar di IPTS yang sama dengan mangsa.
“Pasukan forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah merampas beberapa barang kes yang dipercayai boleh membantu siasatan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Beliau menambah, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaysia untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Surianti Lataera di talian 013-3352547. – KOSMO! ONLINE














