MERSING – Pakatan Harapan (PH) buat pertama kali menampilkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau yang mempertaruhkan seorang jurutera sebagai calon baharu mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke -16.
Calon berkenaan, Ts. Saiful Nizam Samat, 42, berkata meskipun ini merupakan penampilan sulung PKR bertanding di kerusi DUN tersebut, namun menegaskan beliau tidak gentar.
“Asal saya memang seorang jurutera sebelum mengambil keputusan membuka syarikat sendiri dalam bidang automasi industri. Ibu saya dan ibu mentua kedua-duanya dilahirkan di Mersing, malah susur galur keluarga kami adalah dari sini.
”Selepas sekian lama saya merantau menimba ilmu dan membina kerjaya di luar termasuk di luar negara, ini adalah detik terbaik untuk saya pulang berbakti secara total demi tanah kelahiran sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Endau di sini hari ini.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata jika diberi mandat oleh pengundi, beliau mahu memampankan ekonomi nelayan yang menjadi urat nadi utama penduduk di Endau.
Mengulas mengenai strategi kempennya, Naib Ketua Cabang PKR Mersing itu menjelaskan bahawa pendekatan beliau tidak akan berpaksikan janji kosong sebaliknya bertumpu sepenuhnya kepada penyelesaian isu lokal. – KOSMO! ONLINE














