KUALA LUMPUR – Malaysia berdepan cadangan tarif sebanyak 10 peratus daripada Amerika Syarikat (AS) susulan siasatan berkaitan isu buruh paksa, namun keputusan mengenainya masih belum dimuktamadkan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia merupakan antara 60 negara yang sedang disiasat oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.
“Daripada 60 negara yang disiasat, Malaysia dikenakan siasatan melibatkan dua perkara iaitu lebihan kapasiti pengeluaran dan buruh paksa.
“Bagi isu buruh paksa, siasatan hampir selesai dan kita telah diberikan petunjuk bahawa selepas 24 Julai nanti, kemungkinan besar cadangan tarif sekitar 10 peratus akan dikenakan. Bagaimanapun, siasatan berhubung lebihan kapasiti pengeluaran masih belum dimuktamadkan,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai status terkini Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan AS.
Johari berkata, cadangan tarif itu masih belum berkuat kuasa kerana kerajaan AS memberi ruang kepada negara-negara yang terlibat mengemukakan maklum balas sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Proses siasatan ini masih belum berakhir dan tarif 10 peratus itu belum lagi dikuatkuasakan. Kerajaan AS masih membuka ruang kepada negara-negara terlibat dan pihak berkepentingan untuk mengemukakan maklum balas bertulis serta menghadiri sesi pendengaran awam sebelum keputusan muktamad diumumkan.
“Kerajaan melalui MITI akan terus mengambil bahagian dalam proses tersebut bagi memastikan kepentingan dan pandangan Malaysia diberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia sebelum ini telah mengemukakan komen bertulis, menyertai sesi pendengaran awam serta mengambil bahagian dalam sesi konsultasi bagi kedua-dua siasatan yang dijalankan oleh USTR.
Johari berkata, kadar tarif yang dicadangkan kepada Malaysia adalah lebih rendah berbanding 12.5 peratus yang dicadangkan kepada negara lain kerana AS mengiktiraf komitmen Malaysia melaksanakan peruntukan di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), khususnya berkaitan isu buruh paksa.
“Walaupun cadangan tarif itu belum dimuktamadkan, kerajaan akan terus berunding dengan pihak USTR supaya kepentingan perdagangan Malaysia terus dipelihara,” katanya.- KOSMO! ONLINE














