KUALA LUMPUR – Dakwaan penularan di media sosial bahawa dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) disalurkan sewenang-wenangnya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disifatkan tidak benar.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, AAKRP merupakan akaun amanah kerajaan yang diurus mengikut prosedur kewangan yang ketat serta dipantau oleh jawatankuasa khas sebelum sebarang peruntukan disalurkan kepada agensi berkaitan.
“AAKRP ini bukan sebarang akaun, ini bukan akaun NGO. Akaun ini merupakan satu akaun amanah yang ditubuhkan kerajaan di bawah Kementerian Luar, ia dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha bersama jawatankuasa yang turut dianggotai timbalan-timbalan ketua setiausaha dan Bahagian Kewangan.
“Ia diaudit dan setiap permohonan untuk mengeluarkan dana daripada tabung ini diuruskan dengan baik. Jangan risau, tabung amanah ini diurus secara telus, diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan dibentangkan secara berkala kepada Jemaah Menteri,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung strategi Malaysia di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), selain penularan dakwaan di media sosial mengenai pengurusan dana AAKRP.
Mohamad berkata, kerajaan tidak menyalurkan bantuan terus kepada NGO, sebaliknya menggunakan saluran agensi antarabangsa yang mempunyai akses dan rangkaian di Gaza bagi memastikan setiap sumbangan benar-benar sampai kepada rakyat Palestin.
“Kita banyak membantu melalui Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan beberapa organisasi antarabangsa lain. Kita pastikan bantuan daripada AAKRP benar-benar sampai kepada rakyat Palestin.
“Sebab itu kita salurkan terus kepada UNRWA, OCHA, Red Crescent Palestin dan juga melalui Jordan. Dakwaan kononnya kerajaan memberikan dana secara sewenang-wenangnya kepada NGO adalah tidak benar,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia turut menghantar bantuan makanan dan keperluan asas, namun sebelum ini penghantaran berdepan kekangan susulan penutupan laluan darat ke Gaza.
Bagaimanapun, katanya, pembukaan semula laluan berkenaan membolehkan sebahagian bantuan Malaysia yang sebelum ini terkandas mula dibawa masuk secara berperingkat.
“Keperluan paling mendesak ketika ini ialah ubat-ubatan dan peralatan perubatan kerana hospital telah musnah, sekolah hancur, masjid dan gereja juga musnah akibat peperangan.
“Kita akan terus memastikan bantuan kemanusiaan yang disumbangkan rakyat Malaysia sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, Malaysia akan terus menggunakan platform antarabangsa termasuk PBB dan OIC untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel agar menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin serta mematuhi undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, tindakan rejim Zionis yang terus melancarkan serangan di Gaza dan Lubnan tidak boleh diterima serta bertentangan dengan prinsip kemanusiaan.
“Apakah dengan membunuh wanita dan kanak-kanak itu boleh dikategorikan sebagai mempertahankan diri? Ini yang dilakukan oleh rejim Zionis. Mereka sepatutnya menjadi juara kepada hak asasi manusia, tetapi merekalah yang melakukan kekejaman lebih dahsyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














